Ramadhan Medan Membina Perpaduan Ummah


Sedar tidak sedar, kita sudahpun menerima kunjungan bulan Ramadhan, bulan yang sentiasa dinantikan oleh umat Islam. Seluruh muslimin dan muslimat kini mula menjalani ibadah puasa sebagai kewajiban yang ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 185:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan perbezaan antara yang benar dan salah. Oleh itu, siapa di antara kamu yang menyaksikan hilal (anak bulan) Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu;”
Setiap umat Islam pasti mendambakan kehadiran Ramadhan. Bulan ini dijadikan sebagai wadah bagi mengumpul sebanyak mungkin pahala dengan ibadah sunat, yang disertakan dengan ibadah wajib berpuasa. Di bulan ini, orang yang diberikan kemampuan harta, berlumba-lumba memberikan sedekah berupa tajaan makanan berbuka atau sahur, atau memberikan sumbangan kepada fakir miskin dan asnaf. Masjid dan surau mengadakan jamuan berbuka puasa setiap hari sehingga akhir Ramadhan, yang sudah pasti menjadi pilihan bagi mereka yang bekerjaya dan tidak sempat untuk menyediakan juadah berbuka selepas pulang dari kerja. Di malamnya pula, orang lelaki dan perempuan yang mukallaf menunaikan solat sunat tarawih setiap malam sehingga akhir Ramadhan.

Di sebalik pensyariatan Ramadhan, ada berbagai hikmah dan fadhilat yang disembunyikan buat hamba-Nya. Bulan Ramadhan bukan sahaja diciptakan sebagai bulan mengumpul pahala dan kebaikan, tetapi pada masa yang sama, merupakan medan untuk membina perpaduan ummah. Umat Islam, tanpa mengira bangsa dan fahaman politik menunaikan solat tarawih pada malam hari, berimamkan satu imam yang sama. Berbuka puasa bersama di surau dan masjid pada bulan Ramadhan membuatkan kita saling kenal-mengenal sesama kariah, yang adakalanya tidak pernah kita bertemu atau bersua atas faktor kesibukan kerja. Amalan-amalan ini sebenarnya secara tidak langsung meningkatkan perpaduan di kalangan masyarakat.
Jika diselusuri sirah Baginda Junjungan Nabi Muhammad SAW, seluruh umat Islam pada waktu itu menjadikan bulan Ramadhan sebagai medan memperkuatkan kesatuan dan membina perpaduan. Rasulullah dan para sahabat menghidupkan malam Ramadhan dengan solat sunat tarawih, tadarrus dan qiamullail secara bersama di Masjid Nabawi, yang menjadi pusat berkumpulnya umat Islam di Madinah. Semua umat Islam saling bantu-membantu dan bersedekah kepada mereka yang memerlukan. Malahan, begitu banyak perang yang berlaku di bulan Ramadhan seperti Perang Badar, Perang Tabuk dan Pembukaan Kota Mekah yang semuanya berjaya dimenangi oleh tentera Islam, menunjukkan kekuatan dan kesepaduan umat Islam untuk mempertahankan agama sekalipun di bulan Ramadhan semasa menjalani ibadah berpuasa. Umat Islam Madinah juga turut berkerjasama menggali parit mengelilingi Kota Madinah pada bulan Ramadhan 5 Hijrah, tanpa sedikitpun mengabaikan hatta meninggalkan ibadah puasa mereka. Begitu hebat tarbiyyah Baginda Junjungan dalam menjadikan Ramadhan sebagai medan membina perpaduan ummah.
Bulan Ramadhan seharusnya menjadi satu wasilah bagi meningkatkan perpaduan di kalangan umat Islam dan sesama masyarakat. Pada waktu inilah kita dianjurkan untuk mengelakkan pergaduhan, pertelingkahan dan salah faham sesama kita. Ibadah puasa bukan sahaja mendidik kita untuk menahan diri dari lapar dan dahaga, tetapi juga menahan diri dari mencaci orang lain, mengeluarkan kata-kata kesat, mengumpat orang dan melemparkan kata-kata nista. Apa guna seharian kita berlapar dan dahaga, tetapi pahala puasa kita berkurang dek kegagalan kita menjaga mulut dan sentiasa menimbulkan api permusuhan.

Selain itu, di waktu ini jugalah kita dianjurkan berkerjasama dalam melakukan aktiviti seperti memasak bubur lambuk dan gotong-royong majlis berbuka puasa perdana, tanpa mengira status darjat dan fahaman politik. Segala perbalahan lampau dilupakan untuk bekerjasama menganjurkan program-program kemasyarakatan bagi menambah saham pahala. Amalan bertukar-tukar juadah berbuka sesama jiran juga turut mengeratkan silaturrahim sesama jiran, yang sebelum ini mungkin tidak pernah atau tidak sempat dilakukan kerana kesibukan bekerja. Jelaslah bahawa Ramadhan ini sebenarnya adalah suatu medan untuk membina perpaduan ummah.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 103:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”
Di sebalik ketibaan Ramadhan Mubarak ini, marilah sama-sama kita menjadikan ia sebagai medan membina perpaduan ummah. Ketepikan segala perbezaan pandangan dan sengketa lama. Jadikan Ramadhan ini sebagai sebuah ‘universiti tarbiyyah’ untuk kita memperbaiki diri dan mengukuhkan persaudaraan sesama kita. Semoga Ramadhan tahun ini menjadi medan terbaik kita bagi membina perpaduan ummah.
Selamat menjalani ibadah puasa buat semua umat Islam.
Nazrul Nazir adalah pelajar Tahun 5 Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia dan merupakan Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bangi.

Share:

0 perkongsian pendapat