Friday, December 23, 2016

Hak Asasi Barat dan Islam Berbeza

Nota: Artikel ini telah disiarkan di Harakahdaily pada 14 Disember 2016

HAK asasi membawa maksud hak yang dimiliki oleh semua insan. Konsep hak asasi adalah berdasarkan andaian bahawa semua insan memiliki satu bentuk hak yang sama, sebagaimana mereka memiliki indentiti insan, yang tidak dipengarahui oleh faktor tempatan, perkauman dan kewarganegaraan. 

Idea hak asasi datang dari zaman Tamadun Greek melalui hak kebebasan memilih pemimpin di Athens. Plato berpendapat bahawa kepentingan masyarakat haruslah dijaga bersama bagi mengelakkan ketidak adilan. Thomas Hobbes, John Locke, dan Rousseau berpendapat bahawa kontrak sosial perlu diwujudkan untuk menjamin keutuhan wilayah di mana pemerintah dan rakyat saling menghormati hak masing-masing. 

Hak untuk hidup bagi manusia perlu dipertahankan melalui peruntukan hak asasi manusia sama ada melalui undang-undang ataupun perlembagaan.

Hak asasi mula digazetkan dalam perundangan pasca revolusi Perancis apabila mereka menggubal suatu piagam hak asasi manusia dan warganegara Perancis yang diluluskan di Parlimen Perancis pada 26 Ogos 1789 dan dimasukkan sebagai mukadimah dalam Perlembagaan Perancis yang pertama pada 1791. 

Kemudian ia dikuatkan lagi di peringkat global melalui pemeteraian Deklarasi Universal mengenai Hak Asasi Manusia atau The Universal Declaration of Human Rights (UDHR) pada hari ini iaitu 10 Disember 1948. UDHR mengandungi 30 fasal yang membahagikan hak asasi manusia kepada 4 kebebasan utama iaitu kebebasan daripada ketakutan, kebebasan daripada kemahuan, kebebasan bersuara dan kebebasan kepercayaan.

Islam sendiri mengangkat hak asasi manusia sebagai suatu teras penting dalam kehidupan. Dari perspektif Islam, Dr Wahbah Zuhaili menafsirkan hak asasi sebagai himpunan beberapa hak semula jadi yang dimiliki oleh seseorang yang sangat berkait rapat dengan kewujudan tabi’inya, merangkumi hak untuk hidup, persamaan, kebebasan dalam segala bentuknya, hak politik dan sivil, hak bangsa-bangsa untuk menentukan nasibnya, hak untuk merdeka dan mempunyai identiti bangsa, hak berpendapat dan menyatakan pendapat, hak beragama, hak belajar dan mendapat pendidikan, hak ekonomi dan sosial, hak milik khusus, hak berkerja dan menjawat jawatan umum, hak mendapat rawatan kesihatan dan sosial, hak mendapat jaminan dan perlindungan negara, hak keibubapaan, hak kanak-kanak, hak remaja dan belia untuk mendapat asuhan, hak kekeluargaan, hak tempat tinggal dan lain-lain. 

Dr Wahbah Zuhaili menggelarkannya sebagai Karamah Insaniah ataupun prinsip menghormati martabat keinsanan dan maruah manusia sebagai sumber hak asasi.

Islam tidak menolak hak asasi, malah kehadiran Islam adalah bagi mengangkat martabat hak asasi. Allah berfirman dalam Al-Quran:

"Sesungguhnya Kami telah muliakan (status) anak-anak Adam."  
(Surah Al-Isra' ayat 70)

"Langit dijadikan Allah tinggi (mengawan), serta Allah menggariskan padanya neraca keadilan. (Dengan harapan) kamu semua tidak melampaui batas neraca keadilan."  
(Surah Ar-Rahman ayat 7-8)

Kehadiran Rasulullah SAW membawa Islam adalah untuk mengangkat hak asasi yang telah koyak dirobek budaya Arab Jahiliyyah. Rasulullah hadir membawa keadilan tatkala kaum wanita dihina dan dipandang rendah, hingga anak perempuan dibunuh kerana dianggap mencemar maruah keluarga, orang miskin dan hamba sahaya dicemuh dan dipandang rendah, dan ketika itu Baginda datang memperjuangkan hak asasi jauh beratus tahun sebelum Abraham Lincoln berjuang menghapuskan perhambaan di Amerika. Rasulullah berpendirian:
"Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam (bukan Arab), atau ‘ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.”  
(HR Ahmad dan al-Baihaqi)

Hak asasi dalam perspektif Islam berbeza dengan hak asasi dari kaca mata Barat, namun tidak bermakna Islam menolak hak asasi sepenuhnya. Hak asasi dalam Islam dipandu oleh hukum-hukum dan syariat yang termaktub dalam al-Quran dan Hadis. 

Buya Hamka dalam bukunya Hak Asasi Manusia dalam Islam dan Deklarasi PBB, menggariskan beberapa perbezaan hak asasi manusia dalam Islam dan Barat. Islam tidak mengiktiraf keserataan gender (gender equality), homoseksual dan perkahwinan sejenis, perkahwinan antara Islam dan bukan Islam dan nasab anak haram kerana ia bertentangan dengan syariat. Namun selain dari itu Islam mengiktirafnya dan turut mengangkat hak asasi tersebut.

Sebagai kesimpulan, hak asasi manusia adalah suatu perkara penting yang harus diangkat dan dimartabatkan demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan. Islam tidak menolak hak asasi manusia malah turut memperjuangkannya, namun ia haruslah mengikut syariat Islam sebagai panduan. 

Hak adalah suatu kata yang membawa maksud kebenaran, dan kebenaran itu adalah apabila sesuatu itu berada pada tempatnya. Adakalanya kita mengganggap sesuatu itu hak, tapi sebenarnya ia tidak berada di tempat yang betul dan memberi kemudaratan yang lebih besar, menyebabkan hak asasi manusia yang dilaungkan dan ingin diperjuangkan akhirnya tidak tercapai dek kerana tindakan kita sendiri.

Selamat menyambut hari Hak Asasi Sedunia. – HARAKAHDAILY 14/12/2016

Tuesday, October 11, 2016

2016: CERITA BARU, AZAM BARU, AMANAH BARU

Dah dekat dua tahun aku tak update blog ni. Last post aku 24 Disember 2014, memang bersawang habis. Cuma dua tahun menyepi bukan bermakna aku dah berhenti menulis. Dalam tahun ni sahaja aku dah berjaya collaborate untuk penghasilan 2 e-book keluaran Projek Anak Muda Islam (PAMI), 3 artikel aku masuk newspaper, dan 5 artikel diterbitkan di media elektronik (ok bagi can aku nak riyak kejap lol..) Cuma mungkin tahun lepas aku tak banyak masa untuk update semua tulisan-tulisan aku dalam blog ni kot. Nantilah kalau free aku publish semula sini.


Buku aku yang kaler hijau dengan kelabu. Kalau siapa nak boleh PM abang..

Dua tahun berlalu pantas, banyak kisah dan hikayat berputar seiring peredaran waktu. Dan tahun lepas adalah tahun yang paling mencabar. Menggalas amanah sebagai Timbalan Presiden 1 Persatuan Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-Undang (atau nama daftarnya Syariah Law Club) bukan satu tugas yang mudah. Beban berat jatuh kedebuk atas bahu kau untuk menjaga kebajikan lebih kurang 1300 pelajar di FSU. Namun setahun itu aku lalui dengan penuh jaya, sekurang-kurangnya adalah beberapa legasi yang kami tinggalkan untuk diteruskan pimpinan yang baru.

Dan setahun itu mengajar aku banyak benda, yang paling jelas ia banyak mengubah hidup aku. Kau mungkin tak percaya seorang Nazrul yang keyboard warrior cakap berdegang dalam FB Twitter tiba-tiba jadi cool tak mudah melatah (serius ah?). Dari orang yang kepala batu dan suka shoot orang cakap main lepas tiba-tiba boleh jadi seorang diplomat yang boleh berunding dan berbincang. Entah aku pun tak faham kenapa hahaha. Cuma selepas setahun memegang tampuk kepimpinan, aku terus buat keputusan untuk berhenti dan jadi budak biasa. Aku nak mulakan life baru dan rangka pelan 3 tahun Nazrul di USIM, antaranya berniaga cendol dan kumpul duit kahwin (lol).

Sebelum bermula sesi akademik 2016/2017, ramai yang dah approach aku untuk bertanding MPP. And aku tegas dengan keputusan menolak untuk bertanding. Cukuplah setahun, bagilah peluang dekat orang lain pula. Orang yang rapat dengan aku mesti tahu betapa firm nya aku taknak masuk bertanding.

Tapi betullah, kita hanya mampu merancang tapi Allah mengatur segalanya. Pelan yang dirancang selama 3 bulan akhirnya ranap dalam masa sejam 30 minit. Kenapa boleh berubah biarlah ia kekal sebagai cerita tak didendang. Cuma once aku buat keputusan nak beli borang pencalonan tu, dia punya cuak Masya Allah hanya Tuhan yang tahu. Tapi keputusan dah dibuat so nak tak nak aku kena redha je lah. Walaupun ramai yang boleh jangka aku akan bertanding, tapi agak kejutan jugalah bila orang dapat tahu aku hanya bertanding kerusi Fakulti bukan Umum. Malas doh bertanding umum, fakulti pun dah cukup penat dah.

Teaser sebelum beli borang pencalonan, masa ni aku sepatutnya hanyalah pencadang Irfan dan taktau yang aku pun akan bertanding sekali.


Seminggu kami melalui tempoh berkempen, pasang poster turun dengan muka manis di seluruh penjuru fakulti. Walaupun ada track record sebagai Timbalan Presiden Fakulti, tapi laluan untuk menang agak sukar juga memandangkan dua lagi calon yang lawan aku hebat-hebat semuanya. Banyak cerita yang berlaku seminggu ni. Pernah kami down sebab kempen agak slow dan terpaksa berhadapan dengan calon yang mempunyai jentera satu USIM. Di hari sebelum pengundian, kami hanya mampu berserah kepada Allah.

Dan hasilnya..

Menang 760 dari 1113 undi pelajar yang turun mengundi bagi kerusi fakulti. Undi tertinggi bagi kawasan FSU
3 calon yang bertanding untuk kerusi Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Dari kiri aku, Afiq Faiz dan Fatin Fitriah
Plan pencen tak jadi huhu..
Barisan anggota Jabatan Akademik dan Pembangunan Intelektual

Sehingga hari artikel ini ditulis, aku masih belum boleh move on dan sedih kerana aku terpaksa lupakan pelan 3 tahun aku (yang aku namakan sebagai plan pencen). Namun aku akur dengan segala yang berlaku. Banyak perkara yang berlaku di luar perancangan kita, kerana kita tak mampu mengatur segalanya. Tapi setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersirat bagi membina diri kita menjadi insan yang bertakwa.

6 Oktober 2016, secara rasminya aku diberi amanah untuk meanggotai tampuk kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar USIM di bawah portfolio Jabatan Akademik dan Pembangunan Intelektual. Jika dahulu banyak berurusan dengan fakulti, kali ini cabarannya berbeza kerana akan berurusan dengan pentadbiran Universiti. Imej diplomat Nazrul terpaksa dikekalkan untuk setahun lagi. Dan mungkin ini peluang terbaik untuk aku mengasah bakat kepimpinan sebelum berpencak di dunia luar.
Untuk segala yang telah berlaku, sedang berlaku, dan akan berlaku, semoga dipermudahka segalanya..


Kekal 20 sen. 


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...