Hak Asasi Barat dan Islam Berbeza

Nota: Artikel ini telah disiarkan di Harakahdaily pada 14 Disember 2016

HAK asasi membawa maksud hak yang dimiliki oleh semua insan. Konsep hak asasi adalah berdasarkan andaian bahawa semua insan memiliki satu bentuk hak yang sama, sebagaimana mereka memiliki indentiti insan, yang tidak dipengarahui oleh faktor tempatan, perkauman dan kewarganegaraan. 

Idea hak asasi datang dari zaman Tamadun Greek melalui hak kebebasan memilih pemimpin di Athens. Plato berpendapat bahawa kepentingan masyarakat haruslah dijaga bersama bagi mengelakkan ketidak adilan. Thomas Hobbes, John Locke, dan Rousseau berpendapat bahawa kontrak sosial perlu diwujudkan untuk menjamin keutuhan wilayah di mana pemerintah dan rakyat saling menghormati hak masing-masing. 

Hak untuk hidup bagi manusia perlu dipertahankan melalui peruntukan hak asasi manusia sama ada melalui undang-undang ataupun perlembagaan.

Hak asasi mula digazetkan dalam perundangan pasca revolusi Perancis apabila mereka menggubal suatu piagam hak asasi manusia dan warganegara Perancis yang diluluskan di Parlimen Perancis pada 26 Ogos 1789 dan dimasukkan sebagai mukadimah dalam Perlembagaan Perancis yang pertama pada 1791. 

Kemudian ia dikuatkan lagi di peringkat global melalui pemeteraian Deklarasi Universal mengenai Hak Asasi Manusia atau The Universal Declaration of Human Rights (UDHR) pada hari ini iaitu 10 Disember 1948. UDHR mengandungi 30 fasal yang membahagikan hak asasi manusia kepada 4 kebebasan utama iaitu kebebasan daripada ketakutan, kebebasan daripada kemahuan, kebebasan bersuara dan kebebasan kepercayaan.

Islam sendiri mengangkat hak asasi manusia sebagai suatu teras penting dalam kehidupan. Dari perspektif Islam, Dr Wahbah Zuhaili menafsirkan hak asasi sebagai himpunan beberapa hak semula jadi yang dimiliki oleh seseorang yang sangat berkait rapat dengan kewujudan tabi’inya, merangkumi hak untuk hidup, persamaan, kebebasan dalam segala bentuknya, hak politik dan sivil, hak bangsa-bangsa untuk menentukan nasibnya, hak untuk merdeka dan mempunyai identiti bangsa, hak berpendapat dan menyatakan pendapat, hak beragama, hak belajar dan mendapat pendidikan, hak ekonomi dan sosial, hak milik khusus, hak berkerja dan menjawat jawatan umum, hak mendapat rawatan kesihatan dan sosial, hak mendapat jaminan dan perlindungan negara, hak keibubapaan, hak kanak-kanak, hak remaja dan belia untuk mendapat asuhan, hak kekeluargaan, hak tempat tinggal dan lain-lain. 

Dr Wahbah Zuhaili menggelarkannya sebagai Karamah Insaniah ataupun prinsip menghormati martabat keinsanan dan maruah manusia sebagai sumber hak asasi.

Islam tidak menolak hak asasi, malah kehadiran Islam adalah bagi mengangkat martabat hak asasi. Allah berfirman dalam Al-Quran:

"Sesungguhnya Kami telah muliakan (status) anak-anak Adam."  
(Surah Al-Isra' ayat 70)

"Langit dijadikan Allah tinggi (mengawan), serta Allah menggariskan padanya neraca keadilan. (Dengan harapan) kamu semua tidak melampaui batas neraca keadilan."  
(Surah Ar-Rahman ayat 7-8)

Kehadiran Rasulullah SAW membawa Islam adalah untuk mengangkat hak asasi yang telah koyak dirobek budaya Arab Jahiliyyah. Rasulullah hadir membawa keadilan tatkala kaum wanita dihina dan dipandang rendah, hingga anak perempuan dibunuh kerana dianggap mencemar maruah keluarga, orang miskin dan hamba sahaya dicemuh dan dipandang rendah, dan ketika itu Baginda datang memperjuangkan hak asasi jauh beratus tahun sebelum Abraham Lincoln berjuang menghapuskan perhambaan di Amerika. Rasulullah berpendirian:
"Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam (bukan Arab), atau ‘ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.”  
(HR Ahmad dan al-Baihaqi)

Hak asasi dalam perspektif Islam berbeza dengan hak asasi dari kaca mata Barat, namun tidak bermakna Islam menolak hak asasi sepenuhnya. Hak asasi dalam Islam dipandu oleh hukum-hukum dan syariat yang termaktub dalam al-Quran dan Hadis. 

Buya Hamka dalam bukunya Hak Asasi Manusia dalam Islam dan Deklarasi PBB, menggariskan beberapa perbezaan hak asasi manusia dalam Islam dan Barat. Islam tidak mengiktiraf keserataan gender (gender equality), homoseksual dan perkahwinan sejenis, perkahwinan antara Islam dan bukan Islam dan nasab anak haram kerana ia bertentangan dengan syariat. Namun selain dari itu Islam mengiktirafnya dan turut mengangkat hak asasi tersebut.

Sebagai kesimpulan, hak asasi manusia adalah suatu perkara penting yang harus diangkat dan dimartabatkan demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan. Islam tidak menolak hak asasi manusia malah turut memperjuangkannya, namun ia haruslah mengikut syariat Islam sebagai panduan. 

Hak adalah suatu kata yang membawa maksud kebenaran, dan kebenaran itu adalah apabila sesuatu itu berada pada tempatnya. Adakalanya kita mengganggap sesuatu itu hak, tapi sebenarnya ia tidak berada di tempat yang betul dan memberi kemudaratan yang lebih besar, menyebabkan hak asasi manusia yang dilaungkan dan ingin diperjuangkan akhirnya tidak tercapai dek kerana tindakan kita sendiri.

Selamat menyambut hari Hak Asasi Sedunia. – HARAKAHDAILY 14/12/2016

Share:

0 perkongsian pendapat