“Benda Ni Orang Cerita, Takkan Tipu Kot?”

“Kalau benda tu tak betul, macam mana boleh masuk media?”

Takkanlah tu rumours, kalau rumours macam mana orang boleh kecoh?” 

Selalu kita dengar jawapan macam ni bila suatu hoax atau berita palsu diperbetulkan. Seolah-olah suatu kebenaran itu diukur apabila tersebarnya sesuatu berita. Kalau tak ada angin, masakan pohon bergoyang. Katanya..

Soalnya, betul ke setiap benda yang tersebar tu, adalah benar dan bukan palsu? 

Tuan-tuan pernah dengar hikayat “The Boy Who Cried Wolf”?

Tl;dr, ringkasnya cerita tu pasal seorang budak yang menjerit memanggil orang kampung, bagitahu ada serigala datang nak makan biri-biri dia. Sedangkan tak ada pun serigala tu. Habis semua orang kampung kena tipu. 

Soalnya, dari mana datang berita serigala tu?

Ya, dari budak yang bosan and create cerita tu untuk takutkan orang kampung. Boleh jadi jeritan budak tu didengari orang kampung lain, dan disampaikan pula kepada yang lain. Sampai sampai sampai, akhirnya satu kampung pergi ke tempat budak tu. Dan semua kena kencing gitu je.

Adakah serigala tu wujud? Tidak, budak tu yang buat cerita. Ia tidak wujud.

Adakah berita itu benar? Again tidak, budak tu yang buat cerita. Berita tu tak benar. 

Jadi adakah semua berita yang kita dengar, berita yang tersebar itu benar? No. Tak semestinya. Boleh jadi ia berita palsu dan fitnah, yang direka orang atas sebab yang dia je tahu. Sedangkan benda tu tak betul pun. Sebab tu Al-Quran ajar bila dengar suatu berita, fatabayyanu (selidikilah dahulu kebenaran). Bukan fayaqinu. (QS Al Hujurat ayat 6)

Itulah yang berlaku dalam peristiwa Al-Ifqi, apabila Ummul Mukminin Aisyah RA difitnah telah curang dan melakukan perbuatan terkutuk di belakang Rasulullah SAW. Kisahnya bermula apabila Aisyah RA tertinggal dari rombongan perang Bani Mustaliq yang dalam perjalanan pulang ke Madinah. Dalam keseorangan, Aisyah ditemui oleh Safwan Ibn al-Mu’atthil al-Sulami RA yang baru sahaja pulang dari melaksanakan tugas. Safwan RA terus membawa Aisyah RA yang ditinggalkan tadi dengan kudanya, dan bergerak menuju ke rombongan tersebut. 

Rupa-rupanya, kepulangan Aisyah RA bersama Safwan menjadi modal fitnah orang munafik. Berita disebar bahawa Aisyah RA telah melakukan kecurangan bersama Safwan RA, dan sebab itu mereka pulang bersama. Fitnah tersebut telah mencalarkan nama baik Aisyah RA, Rasulullah SAW serta ahlul bait dan keluarganya. Akhirnya fitnah tersebut dipadamkan setelah Allah SWT sendiri membersihkan nama Aisyah RA melalui Surah An-Nur ayat 11 - 19. 

Adakah berita yang tersebar bahawa Aisyah berlaku curang itu benar? Sudah tentu tidak. Tetapi cerita itu tersebar dan menjadi buah mulut masyarakat Madinah walaupun ia palsu. 

Maknanya bukan semua yang kita dengar itu, dan yang tersebar itu, adalah benar. Boleh jadi ia sengaja disebarkan oleh orang yang dengki. Boleh jadi orang yang sampaikan pada kita pun tidak tahu kebenarannya, dan dia terima berita dari orang lain, tanpa menyelidiki kesahihannya. 

Atas sebab itu, berhati-hatilah jika menerima sesuatu berita. Berhati-hatilah sebelum mempercayai dan sebarkan kepada orang lain.

Sebab atas setiap berita yang kita sampaikan, kita akan dipertanggungjawab di akhirat kelak. 

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

“Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun)” HR Muslim (5)

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا، يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.” HR al-Tirmizi (2314)

Yang benci berita palsu,

Nazrul Nazir

Share:

0 perkongsian pendapat