Setahun PRU-14: Mampukah Kita Menjadi Alternatif di Mata Rakyat?


Hari ini, genap setahun berlalu Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan perubahan yang cukup besar dalam arus politik di Malaysia. Umum mengetahui, berlakunya pertukaran tampuk kepimpinan kerajaan yang selama 60 tahun dipegang oleh Barisan Nasional (BN), kini beralih kepada Pakatan Harapan (PH). Jika ingin dinilai prestasi kepimpinan kerajaan yang disebut Malaysia Baru ini, saya yakin sudah ramai yang menulis dan penulisan mereka mungkin lebih tepat dan tajam berbanding saya. Maka saya tidak memilih untuk mengulas tentang kerajaan mandat rakyat pasca 9 Mei ini, sebaliknya saya memilih untuk mengulas prestasi parti saya sendiri, iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sepanjang setahun ini.

Bagi PAS, kita memasuki gelanggang PRU-14 dengan langkah yang cukup berani. Buat kali pertama, PAS meletakkan seramai 158 calon bagi kerusi Parlimen dan 393 calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, termasuk beberapa calon dari parti rakan seperti IKATAN, BERJASA dan Parti Generasi Baru. Dan ini merupakan kerusi terbanyak yang pernah ditandingi PAS dalam semua PRU yang pernah disertainya, ditambah pula buat kesekian kalinya PAS menyertai pilihanraya ini tanpa sebarang perikatan dengan parti-parti lain yang kuat. Namun begitu, hasilnya tidak mengecewakan. Dari 158 orang calon, kita berjaya menawan 18 kerusi Parlimen, kesemuanya di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Kita juga berjaya memenangi 90 kerusi DUN, mempertahankan Kelantan serta merampas kembali Terengganu dengan majoriti dua pertiga, hampir menawan Kedah, dan mempunyai wakil di kerusi DUN sekurang-kurangnya satu di semua negeri kecuali Negeri Sembilan, Melaka, dan Sabah.



PAS sebagai alternatif?

Sekalipun PAS menunjukkan prestasi yang cemerlang pasca PRU-14, ditambah dengan beberapa masalah dan ketidakcekapan yang ditimbulkan PH dalam tempoh setahun pemerintahan, namun tidak keterlaluan jika saya katakan PAS masih gagal untuk menjadi, atau sekurang-kurangnya dilihat sebagai alternatif bagi kerajaan PH.

Kenapa saya berkata sebegini? Pertama, kerana kelemahan PAS sendiri. PAS berjaya menunjukkan kemampuan dalam mentadbir Terengganu, sehingga kerajaan Terengganu dipuji oleh ramai pihak. Tetapi apa yang ditunjukkan PAS di Terengganu tidak dijadikan sebagai ukuran kepada PAS secara umum oleh masyarakat di negeri lain. Mereka memuji kejayaan Terengganu, tetapi ia hanya untuk Terengganu. Mereka tidak yakin apakah PAS di negeri mereka akan mampu melakukan perkara yang sama jika memerintah.

Saya banyak berborak dengan rakan-rakan dari Terengganu berkenaan rahsia kejayaan mereka dalam PRU-14. Boleh saya katakan gerak kerja mereka menawan Terengganu bukan baru bermula selepas pembubaran parlimen, tetapi telah bermula sejak awal lagi.

Strategi mereka sentiasa disusun dan diperkemas. Setiap jentera PAS di semua DUN menyusun organisasi dan melaksanakan berbagai program sebagai persiapan merampas kembali Terengganu. Aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan menjadi fokus utama bagi menarik sokongan pengundi. Kempen “lok koho punoh” (bermaksud biarkan akan jadi lebih teruk) dicanang dan disensasikan bagi menghilangkan sokongan rakyat kepada BN. Hampir setiap bulan akan diadakan himpunan-himpunan rakyat di peringkat DUN bagi mengumpulkan kekuatan. Culaan dibuat dan sentiasa dikemaskini hampir setiap tahun. Pokonya, mereka masuk ke Wisma Darul Iman pada 9 Mei 2018 bukan sebagai “pembangkang yang baru menang”, tetapi sebagai “kerajaan menunggu” atau government-in-waiting.

Berbeza halnya dengan PAS di negeri lain. Selepas setahun kekalahan, apa gerak kerja yang telah disusun dan dilaksanakan? Adakah setiap jentera di peringkat DUN telah dihidupkan dan diperkemaskan? Berapa banyak aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang telah dilakukan? Adakah bilik gerakan sentiasa dihidupkan sepertimana semasa menghadapi PRU-14 dulu, atau hanya setahun sekali dibuka untuk melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan? Kegagalan jentera setempat dalam menzahirkan gerak kerja dan mendekati masyarakat dengan aktiviti kebajikan, menyebabkan masyarakat hanya melihat PAS Terengganu sebagai Terengganu, dan bukan PAS secara keseluruhan. Inilah yang menyebabkan PAS tidak dilihat sebagai alternatif bagi PH.

Selain itu, kerjasama PAS dengan UMNO pasca PRU-14 seolah memperlihatkan PAS sebagai parti yang dipimpin bukan memimpin. Dalam kerjasama PAS-UMNO, seringkali UMNO dilihat lebih terkehadapan dan bukan PAS. Malah dalam 3 PRK yang dilaungkan sebagai kejayaan perpaduan ummah (PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau), kesemuanya dimenangi oleh calon UMNO-BN, dan PAS hanya dilihat sebagai jentera suruhan. Ini membawa suatu mesej kepada rakyat bahawa sekiranya berlaku Pilihanraya Umum dan andai PH berjaya ditumbangkan, UMNO lah yang akan memimpin dan PAS hanya mengikut. Sedangkan UMNO-BN adalah simbol kegagalan dan penolakan rakyat sehingga membawa kepada berlakunya perubahan tampuk kepimpinan pada PRU-14.


Mampukah PAS menjadi alternatif?

Dalam tempoh setahun, masih terlalu awal untuk menghukum samada PAS mampu atau tidak menjadi alternatif kepada PH. Tetapi tidaklah terlalu lewat untuk mengejutkan yang masih lena bagi mencapai hasrat ini.

PAS harus bekerja keras untuk terus dilihat sebagai alternatif kepada PH. Jentera-jentera pilihanraya di setiap kawasan harus dihidupkan, Aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan harus digerakkan dan dijuarai supaya masyarakat merasai kehadiran PAS dalam kawasan mereka. PAS mempunyai banyak kelebihan melalui organisasi di bawah mereka spt Jabatan Amal, Briged Muslimat, ARC dan PASTI. Kesemua sayap-sayap PAS ini boleh digunakan bagi mendekati masyarakat, jika masyarakat pesimis dengan jentera yang berlambang parti. Jentera PAS, melalui golongan ulama’ dan sayap pemuda serta Ameerah perlu masuk ke dalam masyarakat dan mengerakkan aktiviti-aktiviti yang boleh menarik masyarakat untuk bersama kita. Secara tidak langsung, mereka akan mula mendekatkan diri dengan PAS dan menyuburkan kepercayaan serta keyakinan kepada kita.


PAS juga harus menjuarai segala isu yang berlaku. Kehebatan BN adalah mereka mempunyai ramai Ahli Parlimen, dan setiap dari mereka mempunyai portfolio dalam Kabinet Bayangan mereka. Ditambah pengalaman mereka memerintah selama 60 tahun menjadikan mereka benar-benar arif dan menjuarai isu semasa. Maka PAS perlu lebih terkehadapan dari BN. PAS perlu membahagikan Ahli Parlimen dan tokoh-tokoh mengikut kepakaran dalam bidang-bidang tertentu, kemudian pantas memberi respon terhadap isu yang berlaku. PAS bukan sahaja perlu lantang menyuarakan masalah, tetapi harus disertakan dengan penyelesaian.

Dalam isu perpaduan ummah, PAS harus dilihat memimpin dan bukan dipimpin. PAS perlu berada di hadapan dalam perpaduan ummah. Kita meletakkan risiko yang besar apabila membuat keputusan untuk bekerjasama dengan UMNO. Tetapi risiko ini boleh dikurangkan jika kita mampu meyakinkan rakyat bahawa andai berlaku perubahan dalam pilihanraya, PAS lah yang akan memimpin dan bukan UMNO. Yang pasti, untuk merealisasikan hasrat ini PAS harus dilihat lebih meyakinkan dari UMNO. Rombakan di peringkat kepimpinan pusat harus dilakukan bagi memastikan mereka yang memenuhi Jawatankuasa PAS Pusat adalah mereka yang benar-benar layak, berkebolehan dan mampu memimpin negara.

Setahun pemerintahan Malaysia Baru menyaksikan begitu banyak kebobrokan yang dilakukan oleh PH. Andai PAS mampu menggarap peluang ini sebaik mungkin, PAS akan dilihat sebagai alternatif bagi kerajaan PH di mata rakyat. Namun jika PAS gagal mengambil peluang, maka tidak mustahil PAS akan terus ketinggalan dalam arus politik semasa.

Pandangan peribadi.

Nazrul Nazir adalah pelajar Tahun 5 Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia dan merupakan Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bangi.

Share:

0 perkongsian pendapat