Sunday, October 12, 2014

Oktoberfest: Antara Hak, Hipokrasi, dan Penentangannya

Isu Oktoberfest sememangnya menjadi perbualan hangat di media-media semasa baik media massa mahupun elektronik dalam kebelakangan ini. Pesta arak yang bermula di  Munich, Bavaria, Jerman ini yang dimulakan pada tahun 1810  bagi meraikan perkahwinan putera raja Ludwig I dari Jerman dan pasangannya Princess Therese of Saxe-Hildburghausen ini sehingga kini diraikan di beberapa bandar besar utama di seluruh dunia, tidak terkecuali Malaysia pada setiap penghujung September hingga awal Oktober. Kala pesta ini seluruh syarikat syarikat arak besar mula menaja arak-arak mereka untuk dinikmati para pengunjung. 

Mungkin tak ramai yang tahu, pesta ini mula diadakan di Lembah Klang pada tahun 2010. Namun ia mula menjadi kontroversi pada tahun ini, selepas pihak penganjur mula memasang iklan di billboard di Shah Alam, mengajak orang ramai turut serta meraikan pesta julung-julung kali ini. Tambahan pula masyarakat Muslim yang merupakan penduduk majoriti di Malaysia, pada ketika itu masih dalam mood menyambut Hari Raya AidilAdha, isu ini dilihat sebagai satu penghinaan buat mereka, apatah lagi arak merupakan suatu yang haram bagi umat Islam.

Isu bertambah hangat apabila ada pihak yang cuba menjuarai isu ini sebagai membawa suara non-Muslim, bahawa arak itu dibenarkan untuk mereka dan tiada kesalahan untuk mereka meminum arak. 

Persoalannya, apakah benar hak meminum arak adalah hak Non-Muslim?

APAKAH ITU HAK?

Hak berasal dari perkataan Arab iaitu Al Haq, bermaksud kebenaran yang lawannya adalah kebatilan. Ia juga bermaksud keadilan. Menurut Syeikh Ali Khafif, beliau mentakrifkan hak sebagai انه مصلحة مستحقة شرعا iaitu kepentingan yang dimiliki seseorang menurut syara'. 

Dalam bahasa Inggeris, hak disebut sebagai rights iaitu yang membawa erti yang sama dengan kebenaran. Pakar perundangan mendefinisikan hak sebagai sesuatu kepentingan yang dilindungi oleh undang-undang. 

Di Barat, mereka lebih membincangkan konsep hak sebagai hak asasi (human rights) yang berdasarkan andaian bahawa semua insan memiliki satu bentuk hak yang sama, sebagaimana mereka memiliki indentiti insan, yang tidak dipengarahui oleh faktor tempatan, perkauman dan kewarganegaraan.

Hak asasi terbahagi dari dua segi, iaitu dari segi perundangan dan juga dari segi moral. Dari segi perundangan, ia merupakan satu bentuk hak yang dinikmati oleh seorang warganegara seperti apa yang telah termaktub dalam undang-undang negara berkenaan. Percabulan hak berkenaan, mungkin akan membawa kepada tindakan undang-undang yang sewajarnya. 

Dari segi moral, hak asasi merupakan satu tanggapan moral yang didukung oleh anggota masyarakat. Anggota masyarakat akan mengakui wujudnya hak tertentu yang harus dinikmati oleh setiap individu, yang dianggap sebagai "sebahagian daripada sifatnya sebagai manusia", walaupun ia mungkin tidak termaktub dalam undang-undang. Hak ini datang dari berbagai bentuk, samada hak mereka dalam mempraktikkan agama mereka, hak untuk menunaikan kewajiban dan sebagainya. Maka anggota-anggota masyarakat berkenaan akan cuba megelakkan diri daripada mencabuli hak masing-masing dengan penuh perasaan moral.

Dr. Wahbah al Zuhaili mentakrifkan hak hak insan sebagai himpunan beberapa hak semula jadi yang dimiliki oleh seseorang yang sangat berkait rapat dengan kewujudan tabi’inya; yang diperakukan secara alami walaupun belum diiktiraf atau yang dicerobohi oleh mana-mana kuasa . Ia merangkumi hak asasi seperti hak untuk hidup, persamaan, kebebasan, hak politik dan sivil, hak bangsa-bangsa untuk tentukan nasibnya, hak untuk merdeka, hak berpendapat, hak beragama, hak mendapat pendidikan, hak ekonomi dan sosial, hak berkerja dan menjawat jawatan umum, hak mendapat rawatan kesihatan dan sosial, hak mendapat jaminan dan perlindungan negara, hak kanak-kanak, hak remaja dan belia untuk mendapat asuhan, hak kekeluargaan, hak tempat tinggal dan lain-lain .
Beliau menegaskan bahawa Karamah al Insaniah atau prinsip menghormati martabat keinsanan dan maruah manusia adalah sumber bagi suatu hak asasi. Apabila wujudnya penghargaan terhadap Karamah Insaniah itu bermakna adanya tanda keinsanan manusia berkenaan yang membezakannya daripada binatang.

ADAKAH MEMINUM ARAK ITU SUATU HAK BAGI NON-MUSLIM?

Dari penjelasan mengenai maksud hak, umum kita boleh katakan bahawa hak ini adalah suatu perkara yang menjadi kepentingan bahawa mereka boleh melakukan sesuatu yang mereka ingin lakukan tanpa melanggar hak dan kepentingan pihak lain. Namun ia masih tertakluk di bawah moral, undang-undang, dan syariat.

Dalam membicarakan tentang hak, kita tidak boleh lari dari bercakap tentang soal moraliti dan undang-undang. Hak yang terbina adalah berdasarkan dua konsep ini.

Ada sesetengah yang menyamakan hak untuk meminum arak yang menjadi larangan bagi Muslim ini sama dengan hak untuk Muslim melakukan korban sedangkan lembu merupakan haiwan yang suci bagi Hindu dan ia menyentuh sensitiviti mereka.

Terdapat perbezaan besar dalam isu ini. Melakukan korban adalah satu tuntutan dalam Islam. Sepertimana dalam Firman Allah:

 
Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” 
  
(Surah al-Kauthar : ayat 1-2)
Juga dalam hadis Rasulullah SAW:

“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. ”  
(Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib)

Namun meminum arak bukanlah suatu tuntutan bagi non-Muslim. Malah di dalam Kristian sendiri terdapat larangan bagi meminum arak. Seperti yg termaktub dalam kitab Injil:
"Wine is a mocker, strong drink is raging; and whosoever is deceived thereby is not wise."
[Proverbs 20:1] 
"And be not drunk with wine."
[Ephesians 5:18] 
(Source: 20 Most Common Question About Islam by Dr. Zakir Abdul-Karim Naik)

Jadi apakah non-Muslim tiada hak untuk meminum arak?

Tidak, meminum arak bukanlah sesuatu keperluan atau tuntutan bagi non-Muslim sehingga melarangnya akan dikira mencabuli hak mereka.

Bahkan ia lebih sekadar keinginan. Keinginan seseorang untuk melakukan sesuatu, samada benar atau salah. Dan keinginan ini boleh dikawal, samada melalui undang-undang atau kesedaran.

Juga sepertimana pentafsiran hak sendiri, bahawasanya hak itu bersandar pada moraliti dan sifat insan. Namun meminum arak ini bertentangan dengan moraliti dan sifat insan. Malah ia merampas hak manusia sendiri, Arak bersifat memabukkan, iaitu membuat manusia tidak dapat menguasai mindanya dengan sempurna. Ia menjadikan manusia tidak bebas berfikir. Maka hak manusia untuk berfikir direnggut oleh alkohol yang memabukkan.

Arak juga adalah satu 'jenayah', namun ia merupakan 'legalized crime' yang menjadi halal kerana jenayah ini memberi keuntungan kepada negara, sama seperti judi. Arak mengundang manusia melakukan jenayah, hasil mereka tidak dapat berfikir dengan sempurna.

Jika kita katakan meminum arak itu suatu hak, maka mencuri juga suatu hak bagi pencuri, maka benarkanlah mereka mencuri. Merogol itu suatu hak bagi perogol, maka benarkanlah mereka merogol.

Adakah bermakna menjadi suatu kesalahan bagi non-Muslim meminum arak?

Oleh kerana mereka tidak terikat dengan hukum Islam, dan meminum arak adalah satu 'jenayah' yang dibenarkan dan tidak dikenakan undang-undang, maka secara literalnya tidak menjadi kesalahan untuk mereka meminum arak. Nak minum arak, minumlah sampai pecah perut pun,

Namun mengatakan meminum arak sebagai suatu hak asasi dan tidak boleh dicabul oleh pihak lain adalah suatu kesilapan. Memandangkan meminum arak itu hanyalah sekadar keinginan, dan tidak memberi kesan sekiranya ia dilanggar dan bukanlah suatu kepentingan, maka ia sama seperti hak perokok untuk merokok di tempat awam.


HIPOKRASI

Isu Oktoberfest yang melibatkan non-Muslim mula diambil peluang oleh sebahagian ahli politik PKR dan DAP yang berusaha menjadi juara dalam isu memartabat suara non-Muslim. Mereka berpendapat isu ini adalah sebagai hak untuk non-Muslim mengamalkan cara hidup mereka dan ia perlu dipertahankan.

Tindakan wakil-wakil rakyat ini yang bersama menyertai OktoberFest dan turut memuat naik gambar mereka di laman sosial nyata mencetuskan provokasi, apatah lagi OktoberFest ini ditentang hebat oleh rakan mereka PAS sendiri yang meletakkan Islam sebagai wadah perjuangan.

Dalam mereka lantang membawa suara non-Muslim, mereka telah mengguris hati dan perasaan masyarakat Muslim. Malah tak keterlaluan untuk kita katakan mereka ini sedang mencipta provokasi terhadap Islam.

Bila PAS nak buat hudud, mereka tentang. Kononnya atas nama Kebebasan Bersuara.
Bila PAS tentang pesta arak, mereka kata Hormat Hak Bukan Muslim.

Soalan 1: Adakah hudud bukan hak Muslim? Awat yang hang tak hormat boleh pulak?
Soalan 2: Sejak bila Pesta Arak menjadi hak untuk non-Muslim?

DAP perlu faham pengundi di Malaysia terdiri dari Muslim dan non-Muslim. Mungkin DAP rasa selamat dengan undi non-Muslim. Tapi jangan lupa kerusi Muslim lah yang menguatkan Pakatan Rakyat. Kecuali jika DAP memang nak jadi Pembangkang sampai kiamat!

Dan sangat meragukan bagaimana DAP yang terkenal dengan fahaman sosialisnya boleh menyokong program milik Syarikat Kapitalis Arak Terbesar Malaysia Carlsberg. Dalam mereka lantang menyeru rakyat menolak kebobrokan rejim UMNO BN, menolak kenaikan harga minyak, tiba-tiba mereka boleh bersetuju dengan program membazir yang menguntungkan kapitalis dan kroni-kroni. Mungkin akibat kenaikan elaun MP yang dibentangkan dalam bajet 2015 membuatkan mereka tidak risau dengan wang yang dibazirkan.

Juga sebagai ahli politik, mereka seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada pengundi mereka. Adakah dengan mewujudkan pesta arak kita akan mewujudkan sebuah negara Malaysia yang Bertamadun? Dengan masyarakat yang ketagih arak, yang menyumbang kepada berlakunya kongsi gelap dan pelacuran, dan lambakan masalah sosial? Adakah ini negara yang DAP ingin bangunkan?

Kita sibuk kutuk Sultan tu Datuk ni sebab arak, tiba-tiba kita buat benda yang sama..

Hipokrit!


MEREKA BUKAN MUSLIM, BIARKANLAH MEREKA!

Dalam hangat kalut mengenai isu OktoberFest ini, tiba-tiba bangkit seorang Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS yang sememangnya terkenal dengan suka keluarkan statement media bagi membela tindakan penganjur OktoberFest ini. Katanya Islam mengiktiraf yang arak bukan sesuatu yang haram bagi ajaran mereka, maka biarkanlah mereka.

Aku suka dengan komen balas dari Benz Ali menjawab pertikaian YB ini:
Dalam Islam, bukan setakat kena tekankan pada 'halal - haram' sahaja, inilah masalah orang - orang syari'at - feqah, terlalu tetek bengek pada hal - hal 'halal haram' sampai lupa, apakah arak ini baik untuk rakyat atau tidak? 
Kerajaan yang baik, ahli politik yang baik, apatah lagi beragama, Islam, khususnya harus mengajak rakyatnya, mengajukan rakyatnya ke arah tingkatan manusia yang lebih bermoral, yang lebih berakhlak, yang menuju kesedaran manusiawi yang tinggi, apakah disebabkan orang - orang bukan Islam tak haram minum arak, maka ahli politik Islam, harus menggalakkan rakyat negerinya minum arak?kebangangan apakah? 
kalau ditambah unsur - unsur 'kiri / sosialis' lagi, apakah pesta arak ini sesuai diadakan dalam keadaan kegawatan ekonomi ini? apakah pesta arak ini tidak membazir? apakah 'pesta arak' ini bukan sebuah lagi 'candu' atau 'opiate of the masses' yang patut ditentang? tanpa perlu pergi ke 'halal - haram' pun, apakah pesta arak patut digalakkan? 
((Khalid Samad, akan jammed jikalau ada pihak mempertikaikan, "kalau begitu, jika ada orang-orang bukan Islam nak parti seks bebas, dia tak boleh kata apa lah, sebab orang-orang bukan Islam, buat apa pun, tak salah))

KENAPA KITA MENENTANG OKTOBERFEST?

Simple, dalam keadaan harini kita perlu menghadapi kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak, kos sara hidup tinggi, kenaikan inflasi dsbg, dalam kita diseru untuk berjimat tiba tiba kita dihidangkan dengan satu pesta arak. Apakah ia tidak merupakan satu pembaziran? Berapa kerajaan spend untuk buat OktoberFest ini(program ini diluluskan oleh Kementerian Pelancongan)? Bukankah lebih elok jika ia digunakan untuk membantu masyarakat gelandangan yg susah menghadapi kemiskinan hidup?

Di samping itu, adakah kita mahu negara disuburkan dengan budaya tidak sihat yang berpunca dari pesta arak? Umum mengetahui arak merupakan punca kepada segala masalah sosial yang berlaku di Malaysia. Adakah kita mahu anak anak kita dihidangkan dengan gejala tidak sihat ini dan seterusnya mengharapkan mereka menjadi pemimpin masa hadapan?

Sebab itulah kita perlu menentang OktoberFest ini. Andai kita berhujah atas sebab halal haram, sampai bila pun mereka bebas melakukan apa yang mereka mahu sebab mereka tak diikat dengan halal haram. Setiap bangsa mempunyai hak mereka, namun ia bukan tiket untuk mereka membuat apa saja perkara atas nama hak asasi.

Dalam masyarakat majmuk ini, kita perlu menghormati setiap pihak. Namun apabila tindakan mereka itu memberi kesan kepada negara, adalah wajib untuk kita pertahankan negara ini dari dicemari budaya budaya yang tidak sihat ini.

Sekadar pandangan 20 sen.

1 comment:

w. niza said...

Thumbs up! 👍 btul². Baik duit² tu salurkan kt org yg memerlukn drp membazir.masih rmai lg yg kt luar memerlukan. Dah laa gune duit semate² utk pesta.pesta dgn arak pulak tu. Hmm.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...