Jokowi, Prabowo, dan Dilema Politikus Islamis

Sebenarnya aku taklah minat sangat dengan politik antarabangsa ni. Krisis Crimea pun aku ambil masa seminggu nak hadamkan apa sebenarnya yang berlaku, itupun start sehari lepas MH370 ditembak jatuh.


Namun mutakhir ni aku rasa interested nak mengulas pasal politik Indonesia pasca PEMILU (Pemilihan Umum) 2014. Sebab aku rasa ada kaitannya dengan suasana politik di Malaysia, terutamanya dalam menilai politikus-politikus Malaysia.


JOKOWI BAPAK PRESIDEN INDONESIA

9 Julai yang lalu rakyat Indonesia telah memilih Presiden mereka yang baru menggantikan Susilo Bambang Yudhuyono yang berakhir tempoh pemerintahannya pada tahun ini. Dua calon yang hebat bertanding bagi merebut kerusi ini, iaitu Joko Widodo Pak Gabenor Jakarta dari PDIP yang dipanggil Jokowi dan Prabowo Subianto dari GERINDRA seorang bekas Jeneral Militer. Keputusan yang diumumkan pada 20 Julai berpihak kepada Jokowi bersama regunya Jusuf Kalla (JK) dengan 53.15% undi berbanding regu Prabowo-Hatta yang hanya mendapat 46.85% undi. Jokowi dikatakan mendapat sokongan majoriti penduduk luar bandar dan golongan bawahan.

MENGAPA JOKOWI?

Antara faktor yang mempengaruhi rakyat memilih Jokowi sbg Presiden adalah perwatakan dan sikap beliau yang sederhana dan mesra rakyat.

Seorang yang lahir dari latar belakang marhaen, membesar dan kemudian memiliki perusahaan sendiri sehingga menjadi seorang tauke perabot yang kaya di Solo, akhirnya memenangi kerusi Gabenor (Walikota) di Solo. Jokowi bukan seorang yang hanya reti bercakap di pentas, malah beliau tak fasih berbahasa Inggeris. Tapi Jokowi seorang yang banyak bertindak dan segala tindakannya pantas dan efisien. Sebelum bertanding sebagai calon Gabenor Jakarta, beliau dah tunjukkan hasil kerja yang cemerlang dengan membawa perubahan besar kepada Solo, sehingga diiktiraf oleh UNESCO sebagai Bandar Warisan Dunia pada Oktober 2008. 

Jokowi adalah seorang pemimpin mesra rakyat. Dasar Demokrasi Penyertaan yang mana melibatkan masyarakat dalam membentuk dasar politik adalah sesuatu yang memberi nafas baru buat Indonesia. Budaya 'blusukan' yang mana beliau sendiri akan melakukan kunjungan mengejut atas tempat-tempat awam bagi mendengar sendiri pandangan rakyat mengenai dasar, pencapaian, dan mendengar aduan dan masalah mereka ternyata memberi impak besar pada Jokowi. Malah dia dianggap sebagai "Mr Fix It" yang menjadi problem solver kepada masyarakat lebih meyakinkan masyarakat berbanding sesetengah politikus yang hanya menjual air liur tapi jalan kat kawasan sendiri dah 2 penggal berlubang. 

Jokowi juga merupakan sosok tubuh yang membela rakyat. Semua rakyat Solo tahu bagaimana cerita Jokowi pergi sendiri ke Perusahaan Listrik Negara (berperanan spt TNB di Malaysia) dan menyerang PLN yang memotong bekalan elektrik Solo menjelang Krismas 2011 kerana tunggakan bil berjumlah hampir USD 1 Juta. Katanya tindakan ini satu perbuatan melampau dan PLN wajar mengambil kira keperluan masyarakat awam sebelum melakukan sesuatu tindakan. Malah beliau sendiri datang dengan karung duit syiling hasil publisiti media dan membayar jumlah tunggakan tersebut sekaligus mengangkat beliau sbg pembela rakyat Indonesia.

Perwatakan Jokowi juga dilihat sangat sederhana, berbanding Prabowo Subianto yang lahir dari keluarga elit dan sangat kaya. Malah ketika hari pencalonannya Prabowo sendiri datang dengan kudanya yang berharga RP 3 Juta. Dalam Pilihanraya Presiden 2009, Prabowo adalah calon Presiden terkaya, dengan total aset sebanyak Rp 1579 Trilion dan USD 7.57 juta. 

JOKOWI TIDAK ISLAMIS

Isu Jokowi tidak Islamis mula dibangkitkan oleh beberapa golongan Islamis di Indonesia seperti PKS, Parti Amanat Nasional (PAN) dsbg. Mereka menyatakan bahawa Jokowi dan PDIP sebagai berfahaman Nasionalis Sekular dan mendapat sokongan gerakan Sekularis Liberal dan Kristian di Indonesia. 

Kempen kempen untuk menolak Jokowi mula diperhangatkan dengan slogan menyelamatkan Islam di Indonesia, malah tampak sama dengan kempen satu Parti Islam di Malaysia yang giat mahu melabel golongan demokrat dlm parti mereka sbg Sekular dan menyingkirkan mereka #ehh. 

Namun ternyata kempen mereka gagal memikat hati warga Indonesia yg majoritinya beragama Islam. Ternyata rakyat tak menilai berdasarkan siapa lebih Islamis, tapi siapa yang paling boleh buat kerja.


DILEMA POLITIKUS ISLAMIS 

Masalah yang berlaku harini adalah apabila politikus Islamis menggunakan agenda Islam untuk mereka raih undi dari pengundi Muslim. Dan lebih parah apabila agenda syurga dan neraka dinilai sebagai janji utk pengundi, terutamanya masyarakat kampung.

Di Indonesia sendiri, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang mula menjadi feymes selepas Pilihanraya 2009 hanya mendapat 6-7% kerusi sahaja berbanding PDIP yang lebih sekular atas sebab skandal dan rasuah. 

Pada April 2011, seorang ahli DPR dari PKS, Ariffianto ditangkap menonton video lucah semasa sidang DPR. Januari 2013, Presiden PKS Luthfi Hasaan Ishaq ditangkap atas kesalahan rasuah berkenaan daging Sapi, sehingga PKS mendapat jolokan Parti Korupsi Sapi.

Syurga dan neraka yang sebelum ini dijanjikan oleh PKS kepada pengundinya, akhirnya gagal mendapat tempat di hati rakyat apabila mereka gagal dalam Pemilihan Legislatif 2014.

Bagaimana pula kisah di Malaysia? Parti PAS yang dipelopori golongan Ulama' haraki ternyata hanya mendapat 21 kerusi pada PRU 13 berbanding 23 kerusi pada PRU 12. PAS tidak mampu menjadi suara pembangkang yang kuat, malah hanya menumpang populariti PKR dan DAP.

Kenapa? Siapa yang bangkitkan tentang isu-isu besar seperti masalah korupsi dan GST? Siapa yang banyak beri penerangan mengenai ekonomi? Siapa yang kehadapan dalam membela golongan yang ditindas dan dalam isu alam sekitar spt Lynas?

Selain Dr Dzulkefly dan Dr Rosli yang bukanlah golongan ulama', ulama'-ulama' dalam PAS tak mampu menyentuh mengenai isu ekonomi. Mereka lebih mengambil berat isu hukum dan melabel rakan mereka sendiri.

Politikus Islamis harini kebanyakannya hanya menggunakan title agama untuk meraih undi, namun tak mampu mencipta personaliti yang memikat seperti Jokowi. Politikus Islamis lebih banyak berperwatakan spt Prabowo, menggunakan title Islamis namun bermewah-mewah dan tidak menyelami sisa hidup golongan bawahan.

Sedang harini kita perlu sedar, orang takkan menilai kita berdasarkan tingginya ilmu kita. Tapi org akan menilai berdasarkan tingkahlaku dan perwatakan. Setinggi mana serban anda tapi jika anda tak mampu selami kehidupan golongan bawahan dan membela nasib mereka, maka Allah akan persoalkan ilmu anda di akhirat.

Sedang Rasulullah SAW diutus sbg penyelamat, menangkat martabat wanita, menolong fakir dan miskin, membebaskan hamba sahaya dan mengeluarkan masyarakat dari kejahilan. Dan jika Islamis hanya sekadar duduk di bilik mesyuarat berbahas ttg hukum yang remeh dan bergaduh siapa nak jadi MB, apa gunanya title warsatul anbiya'?

Bagaimana kita nak yakinkan rakyat bahawa Islam adalah penyelesai, andai kita sendiri bergantung harap pada rakan non-Muslim PR untuk selesaikan isu besar? Bagaimana kita nak yakinkan rakyat bahawa Islam membela keadilan, andai kita sendiri cenderung melabel golongan yang tak sependapat dengan kita Sekular Liberalis dsbg?

Suka dgn kenyataan Mat Sabu dalam Muktamar PAS 2013 mengenai isu Lynas: 

"Kita lihat siapa yang ke depan dalam isu seperti Lynas dan Bukit Merah. Sepatutnya PAS yang menjuarai isu tersebut kerana menjaga alam dari dirosakkan merupakan kewajipan dalam Islam."

Namun hakikatnya tiada suara dari Islamis mengenai isu tersebut. Dan ia dipandang sepi. Seolah-olah bab merebut MB Selangor lebih penting dari isu alam sekitar yang tergadai. Lebih penting dari rakyat yang bakal dibebankan dengan GST.

Andai kata politikus Islamis mahu menjadi juara dalam pilihanraya, maka juarailah isu-isu rakyat dulu. Contohilah perilaku Jokowi yang lebih 'sunnah' dari para Islamis yang berFerrari dan berAlphard. Lebihkan kerja dan kurangkan sekadar bercakap, kerana rakyat menilai dari hasil kerja kamu. Jangan terlalu bergantung kepada faktor kamu calon Parti Islam, krn jika kamu tak membawa nilai Islam ia hanya memberi fitnah kepada Parti Islam.

Almarhum Ustaz Fadzil Noor adalah cth Islamis hebat yang memperjuangkan isu rakyat, melawan kezaliman penguasa, dan mengangkat suara rakyat. Almarhum Ust Ibrahim Libya adalah cth Islamis yang sanggup meninggalkan kemewahan dunia demi mengajar penduduk Memali nilai Islam dan melawan kezaliman sehingga syahid.

Mungkin suatu masa nanti kita akan lihat Jokowi yang Islamis di Malaysia dan mampu memikat hati rakyat.

Sekadar pandangan 20 sen

Share:

0 perkongsian pendapat