Ramadhan Medan Membina Perpaduan Ummah
Sedar tidak
sedar, kita sudahpun menerima kunjungan bulan Ramadhan, bulan yang sentiasa
dinantikan oleh umat Islam. Seluruh muslimin dan muslimat kini mula menjalani
ibadah puasa sebagai kewajiban yang ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Allah SWT
berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 185:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan perbezaan antara yang benar dan salah. Oleh itu, siapa di antara kamu yang menyaksikan hilal (anak bulan) Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu;”
Setiap umat
Islam pasti mendambakan kehadiran Ramadhan. Bulan ini dijadikan sebagai wadah
bagi mengumpul sebanyak mungkin pahala dengan ibadah sunat, yang disertakan
dengan ibadah wajib berpuasa. Di bulan ini, orang yang diberikan kemampuan
harta, berlumba-lumba memberikan sedekah berupa tajaan makanan berbuka atau
sahur, atau memberikan sumbangan kepada fakir miskin dan asnaf. Masjid dan
surau mengadakan jamuan berbuka puasa setiap hari sehingga akhir Ramadhan, yang
sudah pasti menjadi pilihan bagi mereka yang bekerjaya dan tidak sempat untuk
menyediakan juadah berbuka selepas pulang dari kerja. Di malamnya pula, orang
lelaki dan perempuan yang mukallaf menunaikan solat sunat tarawih setiap malam
sehingga akhir Ramadhan.
Di sebalik
pensyariatan Ramadhan, ada berbagai hikmah dan fadhilat yang disembunyikan buat
hamba-Nya. Bulan Ramadhan bukan sahaja diciptakan sebagai bulan mengumpul
pahala dan kebaikan, tetapi pada masa yang sama, merupakan medan untuk membina
perpaduan ummah. Umat Islam, tanpa mengira bangsa dan fahaman politik
menunaikan solat tarawih pada malam hari, berimamkan satu imam yang sama.
Berbuka puasa bersama di surau dan masjid pada bulan Ramadhan membuatkan kita
saling kenal-mengenal sesama kariah, yang adakalanya tidak pernah kita bertemu
atau bersua atas faktor kesibukan kerja. Amalan-amalan ini sebenarnya secara
tidak langsung meningkatkan perpaduan di kalangan masyarakat.
Jika diselusuri
sirah Baginda Junjungan Nabi Muhammad SAW, seluruh umat Islam pada waktu itu
menjadikan bulan Ramadhan sebagai medan memperkuatkan kesatuan dan membina
perpaduan. Rasulullah dan para sahabat menghidupkan malam Ramadhan dengan solat
sunat tarawih, tadarrus dan qiamullail secara bersama di Masjid Nabawi, yang
menjadi pusat berkumpulnya umat Islam di Madinah. Semua umat Islam saling
bantu-membantu dan bersedekah kepada mereka yang memerlukan. Malahan, begitu
banyak perang yang berlaku di bulan Ramadhan seperti Perang Badar, Perang Tabuk
dan Pembukaan Kota Mekah yang semuanya berjaya dimenangi oleh tentera Islam,
menunjukkan kekuatan dan kesepaduan umat Islam untuk mempertahankan agama
sekalipun di bulan Ramadhan semasa menjalani ibadah berpuasa. Umat Islam
Madinah juga turut berkerjasama menggali parit mengelilingi Kota Madinah pada
bulan Ramadhan 5 Hijrah, tanpa sedikitpun mengabaikan hatta meninggalkan ibadah
puasa mereka. Begitu hebat tarbiyyah Baginda Junjungan dalam menjadikan
Ramadhan sebagai medan membina perpaduan ummah.
Bulan Ramadhan
seharusnya menjadi satu wasilah bagi meningkatkan perpaduan di kalangan umat
Islam dan sesama masyarakat. Pada waktu inilah kita dianjurkan untuk
mengelakkan pergaduhan, pertelingkahan dan salah faham sesama kita. Ibadah
puasa bukan sahaja mendidik kita untuk menahan diri dari lapar dan dahaga,
tetapi juga menahan diri dari mencaci orang lain, mengeluarkan kata-kata kesat,
mengumpat orang dan melemparkan kata-kata nista. Apa guna seharian kita
berlapar dan dahaga, tetapi pahala puasa kita berkurang dek kegagalan kita
menjaga mulut dan sentiasa menimbulkan api permusuhan.
Selain itu, di
waktu ini jugalah kita dianjurkan berkerjasama dalam melakukan aktiviti seperti
memasak bubur lambuk dan gotong-royong majlis berbuka puasa perdana, tanpa
mengira status darjat dan fahaman politik. Segala perbalahan lampau dilupakan
untuk bekerjasama menganjurkan program-program kemasyarakatan bagi menambah
saham pahala. Amalan bertukar-tukar juadah berbuka sesama jiran juga turut
mengeratkan silaturrahim sesama jiran, yang sebelum ini mungkin tidak pernah
atau tidak sempat dilakukan kerana kesibukan bekerja. Jelaslah bahawa Ramadhan ini
sebenarnya adalah suatu medan untuk membina perpaduan ummah.
Firman Allah
SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 103:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”
Di sebalik
ketibaan Ramadhan Mubarak ini, marilah sama-sama kita menjadikan ia sebagai
medan membina perpaduan ummah. Ketepikan segala perbezaan pandangan dan
sengketa lama. Jadikan Ramadhan ini sebagai sebuah ‘universiti tarbiyyah’ untuk
kita memperbaiki diri dan mengukuhkan persaudaraan sesama kita. Semoga Ramadhan
tahun ini menjadi medan terbaik kita bagi membina perpaduan ummah.
Selamat
menjalani ibadah puasa buat semua umat Islam.
Nazrul Nazir
adalah pelajar Tahun 5 Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains
Islam Malaysia dan merupakan Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bangi.
0 perkongsian pendapat